
Saturday, August 7, 2010
~ FORUM BICARA AD-DEEN ~

Friday, August 6, 2010
~ PUTERIKU SAYANG ~


Saturday, July 3, 2010
~ FUNFAIR BOLEH MENYUMBANG KEPADA PERJUDIAN ? ~
Salam alaik... dah lama rasanya iqa tak update blog ni. hmm.. apa khabar sahabat2 semua ? semoga sentiasa sihat dan berada di bawah limpah rahmat dan kasih sayang Allah... insya allah... Semasa sedang asyik melihat gambar-gambar yang di tagged, iqa terpandang gambar di atas.. penjelasan gambar tersebut "Funfair boleh menyumbang kepada judi " ... Setelah mendapat keizinan dari sahabat , ingin iqa kongsi kan ilmu yang iqa perolehi dari pada sahabat tersebut. Islam telah mengharamkan semua unsur perjudian sama ada melalui permainan, hiburan dan sebagainya. Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan RasulNya mengharamkan judi dan menyuruh umat Islam menjauhinya kerana ia adalah perbuatan keji dan ia adalah perbuatan syaitan serta tergolong daripada dosa-dosa besar.
Judi adalah salah satu perbuatan yang boleh mengeruhkan hubungan sesama manusia dalam sesebuah masyarakat. Ia juga mencacatkan hubungan dengan Tuhan. Mereka yang melakukannya (melanggar larangan Allah) tidak akan mendapat keberkatan di dunia dan akhirat.
Judi disebut dalam bahasa Arab sebagai al-maisir. Al-Maisir merupakan suatu bentuk permainan yang memakai atau menggunakan wang dan lain-lain sebagai taruhan dan orang yang menang dalam permainan itu berhak mendapatkan taruhan tersebut. (Kamus Dewan: 545)
Di dalam Al-Qur‘an al-maisir (judi) disebutkan sebanyak tiga kali, sebagaimana Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman yang tafsirnya :
“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya”. Dan mereka bertanya pula kepadamu: “Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)?” Katakanlah: “(Dermakanlah apa-apa) yang berlebih daripada keperluan (kamu)”. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir”.
(Surah Al-Baqarah: 219)
FirmanNya lagi:
Tafsirnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”.
(Surah Al-Ma’idah: 90)
Dan firmanNya yang lain:
Tafsirnya:
“Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil?”.
(Surah Al-Ma’idah: 91)
Di antara dosa dan risiko yang ditimbulkan oleh al-maisir telah dijelaskan dalam surah Al-Ma’idah di atas bahawa al-maisir adalah perbuatan syaitan yang wajib dijauhi oleh orang-orang yang beriman. Di samping itu, al-maisir juga dipergunakan oleh syaitan sebagai alat untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara sesama manusia, serta menghalang pelakunya daripada mengingati Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan menunaikan sembahyang.
Berdasarkan ketiga-tiga ayat di atas juga, ulama fiqh sependapat untuk menetapkan hukum al-maisir itu salah satu dosa besar.
Jumhur ulama daripada empat mazhab berpendapat bahawa unsur penting dari al-maisir itu adalah “taruhan”. Dalam pandangan mereka, adanya taruhan ini merupakan ‘illat (sebab) bagi haramnya al-maisir tersebut. Oleh yang demikian, setiap permainan yang mengandungi unsur taruhan adalah al-maisir dan hukum melakukannya adalah haram.
(Ensiklopedia Hukum Islam: 3/1054)
Hikmat Di Sebalik Pengharaman Judi
Ayat yang telah disebutkan sebelum ini ada menyatakan bahawa judi atau al-maisir itu mengandungi dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia. Tetapi dosanya lebih besar daripada manfaatnya. Manfaat yang dimaksudkan oleh Al-Qur‘an khususnya mengenai al-maisir adalah manfaat yang hanya dinikmati oleh pihak yang menang. Umpamanya dalam bentuk permainan al-mukhatharah di zaman jahiliyyah, dua orang laki-laki atau lebih, menjadikan harta dan isteri mereka masing-masing sebagai taruhan dalam permainan tersebut. Orang yang menang dalam permainan itu berhak mengambil harta dan isteri daripada pihak yang kalah. Ini bermakna harta dan isteri yang sudah menjadi milik pemenang itu boleh diperlakukan mengikut kehendak hawa nafsunya, sama ada dengan mengahwininya atau dijadikan sebagai hamba atau gundik.
Kesemua potongan kayu itu dimasukkan ke dalam karung/peti lalu digoncang oleh seseorang yang dipercayai dan mengeluarkannya satu persatu kepada peserta. Maka peserta yang mendapat potongan yang tiada markah diiktiraf kalah dan tidak menerima bahagian daging unta, malahan dikehendaki membayar harga unta tersebut. Manakala peserta yang lain pula mengambil bahagian daging unta tersebut mengikut jumlah markah yang diperolehinya, lalu membahagikan kesemua daging itu kepada orang miskin. Mereka yang menang saling membanggakan diri dan mengejek-ejek peserta yang kalah hingga melibatkan kabilah masing-masing. Tindakan mereka itu selalunya berakhir dengan perselisihan dan perkelahian yang membawa kepada pembunuhan dan peperangan.
(Al-Qurtubi: 3/58)
Sebab itu, Islam dengan tegas melarang perbuatan judi itu kerana menghalang manusia daripada permusuhan dan berbenci-bencian sesama sendiri. Perbuatan judi itu juga menghalang manusia daripada mengingati Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Daripada penjelasan-penjelasan di atas dapat difahami bahawa antara keburukan dan kemudharatan perbuatan judi itu ialah mendorong dan menjadikan seseorang itu bersifat malas iaitu dengan hanya menanti kelebihan atau rezeki yang datang daripada hasil perjudian. Ia juga melalaikan, membuang masa dan mendorong seseorang meninggal dan mengabaikan kerja-kerja berkebajikan seperti berniaga, bertani dan sebagainya. Perbuatan judi itu juga boleh menjadikan seseorang itu miskin dan papa sehingga harta benda seperti rumah, tanah, barang kemas, isteri, anak-anak, wang simpanan tergadai dan yang lebih mendukacitakan ialah hilang maruah isteri dan anak perempuan yang menjadi penampal hutang-hutang mereka.
Sebagaimana biasanya funfair dibuat di suatu lokasi atau tempat untuk bersuka ria. Selain daripada menyediakan gerai jualan barang-barang, ada juga disediakan pelbagai jenis hiburan dan permainan yang menawarkan hadiah-hadiah istimewa seperti rantai emas, jam dan sebagainya. Ia disediakan mengikut syarat-syarat yang telah diaturkan.
Kebiasaannya, di antara permainan-permainan yang disediakan termasuklah membaling gelang besi ke sasarannya. Untuk menyertai permainan ini, pelanggan terlebih dahulu dikehendaki membeli gelang besi tersebut. Cara permainannya, gelang akan dibaling ke sasarannya, jika masuk pada sasarannya, maka si penjual akan memberikan hadiah. Antara hadiah-hadiah yang disediakan ialah berupa anak patung atau lain-lain. Manakala pelanggan yang tiada satupun daripada gelang besi yang dibeli itu menepati sasarannya maka tiadalah hadiah yang diberikan.
Antara jenis permainan yang diadakan lagi ialah seperti memancing kepingan papan di atas air. Kepingan papan berkenaan diukir menjadi berbagai bentuk. Di belakang kepingan papan tersebut tertulis jumlah markah seperti 100, 200 atau kosong. Sebelum itu pelanggan diberitahu agar memancing ukiran papan itu sebanyak mungkin untuk mengumpul jumlah markah daripada ukiran papan tersebut. Biasanya pelanggan akan dikenakan bayaran bagi setiap ukiran papan yang dipancingnya. Sesudah pelanggan memancing ukiran papan tersebut dan membayar setiap satu ukiran yang diperolehi baharulah penjual itu menjumlahkan markah yang diperolehi pelanggan, kemudian memberi hadiah yang ditentukan mengikut kadar jumlah markah tersebut. Jika markah pelanggan itu tinggi, maka mahal dan istimewalah hadiah yang diberikan.Tetapi jika tidak mencapai pada markah yang sudah ditentukan itu maka tiadalah hadiah yang diberikan kepadanya. Cara permainan ini adalah sama dengan permainan di zaman Jahiliyyah iaitu at-tazji‘ah.
Begitulah di antara jenis dan corak permainan yang terdapat di dalam funfair tersebut mengikut syarat-syarat yang ditentukan. Walau bagaimanapun tidak dinafikan permainan-permainan yang lebih menarik dan canggih telah direka tanpa menyusahkan si pemain, hanya dengan membeli kupon akan diketahui sama ada dia menjadi pemenang atau sebaliknya setelah diadakah undian. Permainan seperti ini dinamakan al-yanasib (judi loteri). Walaupun tidak menimbulkan permusuhan dan tidak menghalang pelakunya daripada mengingati Allah Subhanahu wa Ta‘ala, akan tetapi perlaksanaan undian loteri itu mempunyai akibat-akibat buruk seperti juga pada jenis judi yang lain. Akibat-akibat buruk yang dimaksudkan ialah kenyataannya ia merupakan salah satu cara untuk mendapatkan harta orang lain secara tidak sah. Cara-cara seperti ini diharamkan oleh syara‘. (Ensiklopedia Hukum Islam: 3/1055)
Berdasarkan kepada contoh-contoh permainan yang disebutkan di atas, adalah jelas ia merupakan permainan-permainan yang mempunyai unsur pertaruhan dan mengadu nasib.
Jika dibandingkan dengan pengertian judi dan unsur-unsur yang ada pada judi sepertimana yang disebutkan sebelum ini, maka permainan-permainan seperti di atas adalah termasuk dalam kategori judi kerana ia mempunyai unsur-unsur yang sama.
Dari itu, hendaklah diingat bahawa mana-mana permainan yang mempunyai unsur pertaruhan, mengadu nasib atau salah satu pihak akan kerugian adalah judi.
Walau bagaimanapun tidak semua yang berbentuk permainan atau perlumbaan itu termasuk dalam kategori judi, seperti seseorang yang berkata kepada teman-temannya yang diajak bertanding dalam suatu perlumbaan: “Jika kamu boleh mengalahkan saya, saya akan memberimu hadiah. Sebaliknya jika kamu kalah tidak ada kewajipan apa pun atas kamu untuk saya”. Kriteria seumpama ini telah disebut dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Abdullah Bin Haris bahawa Rukanah, salah seorang kafir Quraisy, pernah mengajak Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam untuk mengikuti permainan beradu tenaga seperti gusti. Dia menawarkan beberapa ekor kambing jika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menang. Dalam perlawanan itu, ternyata Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menang.
(Bazlul Majhud: 16/402)
Maka, jelas bahawa yang haram itu wajib dijauhi dalam segala hal dan keadaan, wajib memelihara diri daripadanya dengan apa jua sekalipun. Maka dalam keghairahan mencari harta dengan jalan berniaga atau lain-lain sumber pencarian, adalah wajib kita berhati-hati daripada terjebak kepada perkara-perkara yang tidak sah dalam jual beli, apa lagi jika ia membawa kepada yang haram.
Thursday, June 24, 2010
~ IMPIANKU TERCAPAI..AT LAST, IT'S MINE ! ALHAMDULILLAH.. SYUKUR YA ALLAH.. T_T ~
.jpg)
24/6/2010
Monday, June 7, 2010
~ Dirinya Sahabatku Fillah..Peliharalah Ukhwah Yang Telah Terjalin keranaMU Ya ALLAH... ~

Thursday, May 20, 2010
~ BANGUNAN MASJID AL-AQSA YANG SEBENAR ~
Gambar yang kerap disebarkan untuk menunjukkan al-Aqsa yang sebenarDalam artikel ini, saya akan cuba berkongsi maklumat yang sebenar mengenai bangunan al-Masjid al-Aqsa seperti yang dikenali penduduk Palestin. Saya perlu memberikan kredit kepada pensyarah Universiti al-Najah, Dr Haithem F. al-Ratrout yang telah melakukan kajian perkembangan senibina al-Aqsa di dalam kajian PhD semasa menuntut di Al-Maktoum Institute.
Saya telah mendapat keizinan beliau untuk menyebarkan maklumat kajiannya, kerana menurut beliau ini merupakan tanggungjawab Muslim bagi memperkenalkan bangunan al-Aqsa yang sebenarnya. Anda boleh membeli buku beliau daripada laman ini untuk mendapatkan penjelasan yang lebih terperinci.
PEMBINA AL-AQSA YANG SEBENARNYA
Untuk mengetahui al-Aqsa, kita terlebih dahulu perlu mengetahui siapakah pembinanya. Menurut ulamak, tidak ada satu nas yang amat sahih menyatakan secara jelas siapakah pembina al-Aqsa. Cuma terdapat sepotong hadith sahih menceritakan secara umum pembinaan al-Aqsa, seperti yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim:
حديث سليمان بن مهران الأعمش، عن إبراهيم بن يزيد التيمي، عن أبيه، عن أبي ذر قال: قلت: يا رسول الله أي مسجد وضع أول؟ قال: المسجد الحرام. قلت: ثم أي؟ قال: المسجد الأقصى. قلت: كم بينهما؟ قال: أربعون سنة
Hadith Sulaiman bin Mahran al-A’mash, daripada Ibrahim bin Yazid al-Tamimi, daripada bapanya Abu Zarr beliau berkata, aku bertanya kepada Rasulullah “Wahai Rasulullah, masjid yang manakah dibina terlebih dahulu (dalam sejarah)?” Nabi menjawab, “al-Masjid al-Haram.” Aku bertanya lagi, “Selepas itu?” Jawab nabi, “al-Masjid al-Aqsa.” Aku bertanya lagi, “Berapa jarak pembinaan antara keduanya?” Nabi menjawab, “40 tahun.”….
Berdasarkan hadith di atas, oleh kerana jarak pembinaan antara al-Masjid al-Haram dan al-Masjid al-Aqsa adalah dekat, iaitu 40 tahun, ditambah lagi dengan umur umat terdahulu yang amat panjang, maka ramai ulamak berpandangan pembina kedua-dua masjid ini adalah orang yang sama. Justeru, dalam usaha mencari siapakah pembina al-Aqsa, adalah perlu untuk kita mencari siapakah pembina al-Masjid al-Haram di Makkah.
Sebahagian kita berpandangan yang pembina al-Masjid al-Haram ialah Nabi Ibrahim. Ini berdasarkan kepada ayat al-Quran di dalam surah al-Baqarah ayat 127:
وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَٰهِيمُ ٱلْقَوَاعِدَ مِنَ ٱلْبَيْتِ وَإِسْمَٰعِيلُ
Dan ketika Nabi Ibrahim dan Ismail mengangkat kembali tapak asas tapak rumah ibadah itu (Al-Masjid al-Haram).
Jumhur ulamak, walau bagaimanapun menyatakan yang ayat di atas hanyalah menunjukkan yang nabi Ibrahim membina kembali tapak al-Masjid al-Haram yang telah dibina oleh nabi sebelumnya. Dengan erti kata lain, nabi Ibrahim bukanlah orang pertama yang membina al-Haram. Sekiranya nabi Ibrahim bukan orang pertama membina al-Haram, maka baginda juga bukanlah orang pertama membina al-Aqsa.
Ketika mentafsirkan ayat di atas, Imam al-Tabari telah merekodkan beberapa riwayat mengenai pembina al-Masjid al-Haram yang sebenarnya. Antaranya ialah seperti yang dilaporkan oleh Ato’ bin Abi Rabah dan Abdullah bin Amru yang menyatakan bahawa pembina Ka’bah yang pertama sebenarnya ialah nabi Adam.
Apabila nabi Adam diturunkan dari langit, baginda telah membina rumah ibadah pertama di muka bumi dengan arahan Allah SWT. Baginda tawaf di keliling Ka’bah tersebut, berdasarkan sempadannya yang telah ditetapkan. Ka’bah itulah merupakan asal bagi al-Masjid al-Haram. Kemudian berdasarkan hadith Abu Dzar tadi, baginda telah membina al-Aqsa 40 tahun selepasnya. Adapun nabi Ibrahim, baginda hanyalah membangunkan kembali asas binaan tersebut yang telah roboh berikutan banjir besar serta faktor cuaca yang lain.
Justeru, ramai ulamak yang menyatakan nabi Adam adalah pembina al-Aqsa kerana baginda juga membina Ka’bah.
Untuk mengetahui bangunan al-Aqsa, kita juga perlu untuk mengetahui konsep binaan masjid di dalam fiqh Islam. Secara ringkasnya, yang dinamakan masjid itu perlulah mempunyai empat elemen:
1. Lokasi.
2. Sempadan.
3. Qiblah.
4. Aktiviti, termasuklah ritual ibadah dan juga segala aspek kehidupan yang membawa kesejahteraan akhirat.
Gabungan lokasi dan sempadan, menurut ulamak, tidak membawa maksud yang masjid itu perlu berada di dalam satu bangunan. Masjid di zaman nabi Muhammad pun tidak mempunyai bangunan. Yang paling penting ialah, pembina masjid tersebut perlu menentukan lokasi dan sempadannya. Adalah menjadi satu kesilapan sekiranya kita memahami yang masjid itu perlu dibuat di dalam bangunan.
LOKASI AL-AQSA
Dalam peta politik moden, al-Aqsa terletak di sebuah kawasan yang dikenali sebagai Pekan Lama atau Old City of Jerusalem, Tebing Barat (West Bank). Semasa zaman nabi, banyak istilah yang digunakan untuk merujuk kawasan ini, seperti Eiliya’, Sham, al-Ard al-Muqaddasah, al-Ard al-Mubarakah dan al-Quds. Old City of Jerusalem dikelilingi oleh pagar. Di dalamnya terletak kawasan petempatan lama. Ianya agak padat. Dahulu Muslim Arab merupakan majoriti, akan tetapi selepas penjajahan, orang Yahudi semakin ramai menguasai kawasan petempatan di dalam Old City of Jerusalem. Turut berada di dalam pagar Old City berkenaan, ialah Holy of Sepulchre, gereja utama agama Kristian. Al-Masjid al-Aqsa terletak di tenggara pagar Old City.

Pandangan udara Old City of Jerusalem dan al-Aqsa
BANGUNAN AL-AQSA YANG SEBENAR
Antara gambar terbaik untuk melihat pandangan udara al-Aqsa ialah seperti berikut.

Secara ringkas, al-Masjid al-Aqsa yang sebenar ialah meliputi semua monumen bangunan dan tanah lapang di sekitar pagar empat segi di atas. Hujjahnya ialah seperti berikut:
1. Nabi Muhammad diisra’ ke al-Aqsa. Kemudian dimikrajkan dari al-Aqsa juga. Semua bersetuju yang nabi dinaikkan ke langit daripada lokasi Dome of the Rock sekarang yang letaknya di bukit paling tinggi di dalam pagar di atas. Justeru tidaklah tepat sekiranya Dome of the Rock dikatakan bukan sebagai al-Aqsa.
2. Masjid tidak semestinya berada di dalam satu bangunan. Ianya boleh jadi di atas tanah lapang, atau dalam bangunan, atau gabungan tanah lapang dan bangunan, selagi mana ditentukan lokasi dan sempadannya.
3. Al-Aqsa mempunyai hubungan dan persamaan dengan Ka’bah. Tidak mustahil, kerana pembinanya adalah orang yang sama. Bahkan jika dibesarkan plan Ka’bah, kita akan dapati yang plannya adalah sama dengan pagar sempadan al-Aqsa. Dengan erti kata lain, sudut bukaan setiap hujung empat seginya adalah sama. Penjelasan lanjut boleh diperolehi daripada buku Dr Haithem yang sebenarnya merupakan thesis PhD beliau.
Memang benar Saidina Umar seakan marah dan tidak bersetuju dengan cadangan Ka’ab al-Ahbar mengenai lokasi di mana perlunya dibina bangunan masjid di dalam al-Aqsa. Ka’ab mencadangkan di lokasi Dome of the Rock sekarang. Umar tidak bersetuju kerana lokasi itu adalah lokasi paling suci dalam agama Yahudi, dan keduanya bangunan utama yang menempatkan Imam sembahyang, perlulah berada di tempat paling hampir dengan qiblat/Ka’bah.
Maka dibinalah bangunan masjid kecil di selatan sempadan pagar al-Aqsa yang betul-betul dibina oleh nabi Adam menghadap ke arah Ka’bah. Masjid asal yang dicadangkan saidina Umar itu dikenali penduduk tempatan sebagai Jami’ Qibli atau Jami’ al-Aqsa. Adapun sekiranya menyebut al-Masjid al-Aqsa, maka ianya merujuk kepada semua yang berada di dalam pagar sempadan al-Aqsa tadi, termasuklah Jami’ Qibli, Masjid Buraq, pelbagai masjid kecil di dalamnya, beberapa bilik perpustakaan, pejabat dan kelas pengajian, Dome of the Rock, Dome of Ascension, Dome of Chain, tanah lapang, dan lain-lain.
KESIMPULAN
1. Al-Aqsa ialah kawasan yang meliputi semua monumen, bangunan dan tanah lapang di dalam pagar al-Aqsa seperti gambar di atas. Ini termasuklah Dome of the Rock, yang merupakan sebahagian daripada al-Masjid al-Aqsa.
2. Umat Islam perlu menghentikan penyebaran maklumat salah yang kononnya Dome of the Rock bukan sebahagian daripada al-Aqsa. Sasaran Zionis sekarang ialah membina Haikal Sulaiman di atas tapak Dome of the Rock, yang dianggap sebagai The Holiest of Holy oleh orang Yahudi. Sekiranya kita membiarkan fokus kita daripada mempertahankan Dome of the Rock, maka mudahlah orang Yahudi merampas al-Aqsa.
3. Saya amat mencadangkan rakan-rakan pembaca untuk membeli buku Dr Haithem , serta membaca kajian lanjut mengenai pembinaan Ka’bah, pembinaan Jami’ Qibli, Dome of the Rock dan kubah-kubah lain, sejarah pemerintah yang menguasai dan memakmurkan al-Aqsa dan lain-lain.
wallahu'alam..
SUMBER : http://www.iluvislam.com/
Thursday, May 13, 2010
~ KHUTBAH TERAKHIR NABI MUHAMMAD S.A.W ~
